KUALA KANGSAR, 8 Mei (Bernama) -- Rakyat Perak melahirkan rasa gembira dan menyambut baik berita perkahwinan Raja Muda Raja Dr Nazrin Shah yang akan berlangsung 17 Mei ini di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, di sini.
Mereka turut menyatakan rasa syukur dengan berita berkenaan yang diumumkan semalam oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Iskandariah Datuk Seri Raja Mansur Raja Razman.
Mohd Roslee Mat Som, 45, pekerja Istana Iskandariah yang telah berkhidmat selama 15 tahun, melahirkan rasa gembira dengan pengumuman berkenaan dan menyifatkan perkahwinan itu tepat pada masanya.
"Saya tidak terkejut dengan berita itu kerana memang rakyat sudah lama menunggu seseorang untuk mengisi jawatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Rakan sekerjanya, Abdul Risham Idris, 26, turut sepakat dengan Mohd Roslee dan berkata sudah sampai masanya Raja Nazrin Shah mempunyai teman hidup dan bersama-sama menaungi pentadbiran negeri Perak.
Rohana Syaaban, 42, yang juga berkhidmat dengan Istana Iskandariah sejak 14 tahun lepas, pula berkata : "Sebelum ini saya hanya menjaga kecantikan pemandangan di istana tetapi mulai hari ini sehingga minggu depan, saya berbangga kerana akan menjaga kecantikan istana untuk majlis perkahwinan Raja Muda Perak."
Peniaga kraftangan di pekan Kuala Kangsar, Zalihaha Mat Kasa, 60, berkata perkahwinan Raja Nazrin Shah melengkapkan perjalanan diri baginda kerana seorang raja itu perlu ada permaisuri di sisinya.
"Baguslah baginda mendirikan rumah tangga sebab lama sangat baginda seorang. Rakyat pasti bahawa pilihan Raja Muda adalah seorang wanita yang layak dan istimewa serta sesuai dengannya," katanya.
Peniaga di medan selera Sungai Perak di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Yahya, turut melahirkan rasa gembira dan tidak sabar untuk meraikan majlis perkahwinan pasangan diraja itu.
"Yalah, sampai bila Raja Muda mahu membujang, sudah sampai masanya untuk baginda berteman," katanya.
Seorang peniaga di Ipoh, yang mahu dikenali sebagai Wong, pula berkata rakyat Perak sudah pasti akan berbangga dan menumpang kegembiraan dengan perkahwinan Diraja itu.
"Kita berbangga kerana mempunyai Raja Muda yang berpengetahuan luas dan memahami hati rakyat. Sudah tentu kita turut gembira dengan perkembangan ini," katanya.
Tinjauan Bernama mendapati beberapa persiapan di istana seperti pemasangan khemah, persiapan untuk santapan di dewan dan kerja mencantikkan bangunan istana, pintu-pintu utama serta persekitarannya, telah dimulakan.
Pengurus Resort Sungai Perak, Norlida Adnan, berkata semua bilik di resort berkenaan telah ditempah sepenuhnya sempena majlis perkahwinan itu.
"Bermula minggu depan semua bilik di resort ini telah ditempah, tiada lagi yang kosong. Saya juga difahamkan semua bilik Rumah Rehat Kuala Kangsar telah juga ditempah," katanya.
Resort berkenaan akan dijadikan pusat media bagi majlis itu.
Orang ramai di Ipoh dan Kuala Kangsar akan berpeluang mengikuti secara langsung istiadat perkahwinan itu melalui skrin gergasi di Taman Budaya Kuala Kangsar dan Dataran Ipoh.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment