Tuesday, January 26, 2010

Hadiah kahwin Azizulhasni

puas hati raih emas Beijing

KEJAYAAN jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat emas dalam acara keirin di Piala Dunia Klasik di Beijing, China, adalah hadiah perkahwinan untuk bakal isterinya, Athiah Ilyana Abdul Samat yang akan dinikahinya, Sabtu ini.

Azizulhasni berkata sebelum ini Athiah Ilyana ada memintanya untuk memenangi emas sebagai hadiah perkahwinan.
"Saya cuma berjanji akan cuba sedaya upaya dan syukur akhirnya berjaya memenangi emas acara keirin selain meraih jersi putih," katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Namun Azizulhasni berkata, kejayaan itu tidak akan melekakannya, sebaliknya kini memasang impian untuk memenangi Jersi Pelangi, sekali gus sebagai juara keirin di Kejohanan Trek Dunia di Denmark, Mac ini.

"Itu impian saya selepas terlepas tahun lalu. Sebagai pemenang jersi putih yang memungut mata terbanyak daripada empat siri Piala Dunia Klasik, saya harus berhati-hati kerana tumpuan pelumba lain akan terarah kepada saya nanti. Saya akan cuba memberikan yang terbaik kerana setiap kali turun berlumba, saya tidak mahu menghampakan rakyat Malaysia yang mengharapkan kejayaan saya," katanya.

Mengenai kejayaannya memenangi emas keirin di Beijing, Sabtu lalu, Azizulhasni berkata ia adalah kemenangan terbesarnya selepas kecewa dalam dua siri Piala Dunia Klasik yang disertainya di Manchester dan Melbourne.

Saya tidak suka kalah jadi di Beijing saya bertekad untuk menang walaupun terdapat beberapa halangan yang memang menguji kesabaran saya.

"Sebelum perlumbaan lagi berlaku kerosakan pada pedal basikal selain dihimpit oleh seorang pelumba Jepun semasa perlumbaan dan agak keletihan apabila memasuki peringkat akhir," katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...