Tuesday, February 9, 2010

Azizulhasni, Athiah selamat diijabkabul

Azizulhasni, Athiah selamat diijabkabul


MOHD. Azizulhasni Awang (kanan) tenang pada majlis akad nikah dengan Athiah Ilyana Abd. Samat di Persiaran Bukit Meru dekat Ipoh, semalam. - Bernama


IPOH - Jaguh lumba basikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihannya, Athiah Ilyana Abd. Samat dalam majlis yang berlangsung di rumah pengantin perempuan dekat Meru Heights, semalam.

Dengan mas kahwin RM2,000 dan seutas rantai emas, pasangan tersebut selamat diijabkabulkan oleh Pegawai Nikah, Cerai dan Rujuk Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru, Zaini Bakri pada pukul 11.30 pagi selepas bertunang setengah jam sebelum itu.

Azizulhasni, 22, yang pulang dengan kejayaan meraih pingat emas acara keirin Kejohanan Piala Dunia Klasik UCI di Beijing, Ahad lalu sah menjadi suami kepada Athiah, 24, dengan tiga kali lafaz.

Pada majlis tersebut, pengantin lelaki menghantar 11 dulang hantaran termasuk wang hantaran RM8,000 dan dibalas dengan 13 dulang oleh pihak pengantin perempuan.

Keceriaan jelas terbayang pada wajah kedua-dua mempelai yang kelihatan berseri-seri dengan pakaian pengantin berwarna kuning.

Ketika ditemui selepas upacara akad nikah, pasangan suami isteri itu memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana hubungan yang terjalin sejak 2007 itu dikukuhkan dengan ikatan perkahwinan.

Menurut Azizulhasni yang mendapat jolokan The Pocketrocketman, walaupun sudah bergelar suami, fokusnya masih terhadap Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Copenhagen, Denmark pada 24 hingga 28 Mac ini.

''Walaupun baru lepas bernikah tetapi saya terpaksa pulang ke Melbourne, Australia pada 7 Februari ini untuk kembali menjalani latihan bagi memberi fokus kepada Kejohanan Dunia di Denmark," katanya.

Katanya, setakat ini, dia dan isteri belum memikirkan mengenai percutian berbulan madu.

''Kami hanya akan tentukan tempat untuk berbulan madu selepas majlis resepsi," ujarnya.

Sementara itu, majlis menyambut menantu akan diadakan di Terengganu pada 5 Februari ini manakala majlis resepsi mereka akan diadakan pada Disember ini selepas berakhirnya Sukan Komanwel di New Delhi pada Oktober ini.

Dalam pada itu, Athiah Ilyana pula menyatakan bahawa dia sejak awal lagi sudah bersedia menjadi isteri kepada seorang atlet sukan negara.

Katanya, apa yang penting ialah Azizulhasni dapat mengimbangi tanggungjawab terhadap negara dan keluarga.

''Saya juga berharap dia (Azizulhasni) mendapat pingat emas dalam semua kejohanan termasuk Kejohanan Dunia, Sukan SEA dan Sukan Komanwel,'' katanya.

Azizulhasni dan Athiah berkenalan melalui laman web rangkaian sosial Friendster pada Julai 2007 sebelum menjalinkan hubungan serius selepas Sukan SEA Korat, Disember 2007.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...