TIBA-TIBA sahaja namanya melonjak. Malah kedengaran ada atlet lain yang mencemburui pencapaiannya.
Maklumlah tidak sampai tiga tahun, Azizulhasni Awang sudah menjadi ‘anak emas’ kerajaan Malaysia gara-gara pencapaian mendadaknya dalam sukan berbasikal trek di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Anak kelahiran Dungun, Terengganu ini kini bukan lagi calang-calang orang tetapi adalah ikon kepada golongan belia dan sukan di negara ini.
Kejayaan muncul naib juara acara 200m pecut pada kejohanan dunia di Pruzskow, Poland Mac lalu dan terbaru menewaskan juara dunia, Gregory Bauge pada satu kejohanan jemputan di Medellin, Colombia awal bulan ini cukup menjelaskan mengapa Azizulhasni digelar media luar negara Thepocketrocketman.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. TAUFEK RAZAK, pelumba berusia 21 tahun ini berkongsi rahsia kejayaannya pada bahagian pertama temuramah ini untuk dijadikan teladan dan dicontohi oleh mereka yang ingin menjadi sepertinya.
UTUSAN: Sejak dipilih sebagai ikon, adakah ia memberi lebih tekanan kepada Azizul terutama ketika dalam keadaan masih belajar, di bahu pula terletak harapan tinggi menggunung negara. Bagaimana perasaan bila dapat tahu kini sudah jadi anak emas Malaysia?
AZIZULHASNI: Sejak prestasi saya meningkat, memang saya menggalas harapan yang tinggi setiap kali menyertai kejohanan. Sebab itu saya sentiasa mahu tampil dengan keputusan yang baik. Setiap kali berlumba saya akan memberi 100% fokus, tumpuan dan komitmen. Saya menggunakan sepenuhnya peluang untuk meningkatkan prestasi dan menghasilkan pencapaian untuk negara. Saya tahu harapan dari rakyat malaysia adalah tinggi dan tanggungjawab saya kepada tanah air tidak pernah saya lupakan.
Cita-cita saya dalam arena lumba basikal ini bukan sahaja untuk pencapaian peribadi malah saya ingin jadikan lumba basikal atau berbasikal itu sebagai satu budaya di malaysia. Biarlah rakyat Malaysia mengayuh basikal ke tempat kerja atau ke kedai mamak dan sebagainya.
Biarlah rakyat Malaysia kita berlumba-lumba untuk bersukan dan bukanlah berlumba-lumba untuk menghabiskan duit kepada benda yang tidak berfaedah.
Setelah dipilih sebagai ikon, saya tidak merasakan tekanan daripadanya kerana saya dipilih sebagai ikon berdasarkan diri saya, pencapaian saya dan apa yang saya buat. Dengan kata lain, ia adalah diri saya yang sebenar.
Jadi saya hanya perlu kekalkan apa yang saya buat dan kongsi pencapaiannya dengan rakyat Malaysia. Harapan saya agar dapat memotivasikan rakyat Malaysia dari semua sektor.
Untuk tempoh tiga tahun lagi sebelum Olimpik London 2012, apa tumpuan utama Azizul selain menyertai pertandingan? Bagaimana nak mengisi waktu sebagai belia berusia 21 tahun dan sebagai pelajar di Universti Deakin?
AZIZULHASNI: Dalam tempoh tiga tahun sebelum Olimpik, pada saya ia bukanlah satu tempoh yang sekejap dan bukan juga satu tempoh yang lama.
Dalam tempoh tersebut, macam-macam boleh berlaku dan sekelip mata juga kita dah sampai ke tahun 2012.
Namun saya masih tetap dengan misi saya iaitu meraih pingat emas Olimpik pertama untuk negara. Sesuatu yang pintunya semakin luas terbuka berbanding dahulu di mana rakyat Malaysia tidak pernah terfikir yang pintu itu boleh terbuka untuk mereka atau merasakan pintu untuk mendapatkan emas sudah terkunci rapat.
Namun tanggapan itu terbukti silap kerana kini Malaysia sudah pun terkenal di mata dunia kerana sukan. Sukan amat luas kegunaannya tetapi masih banyak tidak diterokai oleh rakyat Malaysia yang lebih tertumpu kepada pemikiran sukan adalah sukan.
Harapan emas pertama Olimpik kian bersinar. Sama-sama kita doakan.
|
Athiah Ilyana Abdul Samat |
Dalam sibuk mengejar impian ini timbul cerita ada ‘orang baru’ wujud dalam hidup Azizul ketika ini. Jadi mana lebih diutamakan selepas ini sama ada belajar, basikal atau kahwin?
AZIZULHASNI: Selain bonda tercinta, Selamiah Yong dan ayahanda yang disayangi, Awang Embong serta kaum keluarga lain dan terbaru, Athiah Ilyana Abdul Samat atau Tya adalah pendorong saya.
Beliau banyak menolong saya tatkala saya terlalu sibuk dengan komitmen hidup saya dalam arena sukan negara.
Saya mengenali beliau pertama kali melalui internet memandangkan saya berada jauh di perantauan dan hubungan sebagai kawan terjalin sebelum memanjangkannya kepada lebih serius.
Tentang kemungkinan dia bakal menjadi isteri masa depan, saya tak berani nak komen kerana jodoh dan perkenalan adalah di tangan Allah SWT. Kita hanya merancang dan Dialah yang akan menentukannya.
Saya hanya dapat berdoa supaya hubungan ini dikekalkan selamanya. Berkenaan dengan hal tamat zaman bujang selepas Olimpik 2012, saya tidak pernah memikirkannya lagi mungkin kerana faktor kewangan dan sebagainya.
Tentang Tya pula, beliau adalah pelajar Sarjana Senibina di Universiti Deakin tempat sama saya belajar.
Tya bakal menamatkan pengajiannya insya-Allah tahun depan. Tetapi apa jua yang sedang berlaku dalam hidup saya ketika ini, pada saya yang lebih diutamakan adalah karier saya sebagai atlet lumba basikal negara.
Mungkin kerana saya lahir untuk basikal maka saya amat menyayangi lumba basikal.
Menjadi pelumba basikal sambil belajar tentunya sukar. Boleh cerita sikit rutin yang Azizul lalui setiap hari dalam menjalani latihan, belajar, mengisi masa lapang dan mengikuti program latihan yang diatur John (Beasley).
AZIZULHASNI: Sekarang hidup saya sangat ketat dan sibuk berbanding dulu. Rutin saya bermula seawal 5 pagi. Saya bangkit untuk solat dan bersiap di awal pagi tatkala kawan-kawan lain (rakan sepasukan yang turut berlatih di Melbourne) masih lena di kamar masing-masing. Pukul 6 pagi saya bergerak ke gimnasium dan memulakan sesi membina otot di situ dari pukul 6.30 hingga 7.30 pagi. Selepas itu saya terus bergegas ke universiti di mana kelas bermula jam 8.30 pagi.
Dalam kepenatan dan kesakitan otot dari latihan di gimnasium tadi, saya memulakan pengajian sehingga pukul 12.30 tengahari.
Tamat kelas saya terus bergegas ke velodrom di Pusat Darebin kerana latihan bermula pukul 1 petang.
Kadang-kadang saya terlambat kerana faktor lalu lintas dan kuliah.
Sesi di trek tamat dalam pukul 5 petang. Tamat latihan saya pulang ke rumah, solat, mandi dan ke dapur untuk masak makan malam.
Selepas itu saya biasanya membuat tugasan atau apa-apa kerja dari kelas. Saya mempunyai masa lapang yang sangat singkat berbanding rakan-rakan di luar sana. Saya amat jarang dapat melepak bersama rakan-rakan di Melbourne dan kalau bernasib baik mungkin pada hari minggu sahaja dapat berbual dan makan bersama.
Jadi saya berharap, rakan-rakan di luar sana, gunakanlah masa dengan sebijaknya dan jangan mengabaikan zaman remaja anda dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
*Bahagian kedua esok
* sniff thanks Mr wartawan...tp muke x boleh blah sedikit....well thanks a bunch..tekejut bangun2 pagi muke masuk paper...*go go Azizul......olympic for Malaysia....