Tuesday, January 26, 2010

Emas untuk bakal isteri

SEPANG - Kejayaan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat emas dalam acara keirin di kejohanan Piala Dunia Klasik di Beijing, China merupakan ‘hadiah perkahwinan’ untuk bakal isterinya, Athiah Ilyana Abdul Samat pada majlis perkahwinan mereka yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Mohd Azizulhasni berkata, sebelum ini Athiah Ilyana ada memintanya untuk memenangi emas sebagai hadiah perkahwinan.

“Saya cuma berjanji akan cuba sedaya upaya dan syukur akhirnya berjaya memenangi emas acara keirin selain meraih jersi putih,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) daripada menyertai kejohanan itu semalam.

Pelumba kelahiran Terengganu itu berkata, kejayaan itu tidak melekakannya sebaliknya kini memasang impian untuk memenangi Jersi Pelangi sekaligus sebagai juara keirin di Kejohanan Trek Dunia pada Mac ini di Denmark.

“Saya mengimpikannya selepas terlepas pada tahun lepas walaupun sedar saingan yang sengit yang akan diberikan pelumba-pelumba terbaik dunia.

“Selaku pemenang jersi putih yang memungut mata terbanyak daripada empat siri Piala Dunia Klasik juga saya harus berhati-hati kerana tumpuan pelumba-pelumba lain akan terarah kepada saya pada perlumbaan acara itu nanti.

“Saya akan cuba memberikan yang terbaik kerana setiap kali turun berlumba saya tidak mahu menghampakan rakyat Malaysia dan pelbagai pihak yang mengharapkan kejayaan saya,” katanya.

Mengenai kejayaannya memenangi emas keirin di Beijing pada Sabtu lepas, Mohd Azizulhasni berkata, ia merupakan kemenangan terbesarnya setelah kecewa dalam dua siri Piala Dunia Klasik yang disertainya iaitu di Manchester di mana penyertaannya dibatalkan, dan di Melbourne, Australia yang hanya berjaya meraih pingat perak.

1 comment:

Wan Nur Hanisah A.Halim said...

hOhohoho..
ad terbaca kt paper gak td..

cOngrats 4 bOth of u!! =))

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...