Wednesday, April 28, 2010

Azizulhasni, Nicol terbaik


TUANKU MIZAN menyampaikan trofi Olahragawan Kebangsaan kepada Azizulhasni pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2009 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur malam tadi.


JAGUH berbasikal trek, Azizul- hasni Awang dan ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2009 malam tadi.

Kedua-dua anugerah tertinggi itu telah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Majlis Anuge- rah Sukan Negara 2009 yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.

Azizulhasni menewaskan pencabar terdekatnya, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei serta enam calon lain iaitu Daniel Bego (renang), Muhammad Farkhan (tinju), Sazali Samad (bina badan), Zulmazran Zulkifli (boling), Muhamad Hatta Mahamut (karate) dan Loh Jack Chang (wusyu).

Azizulhasni, 22, ketika ditemui berkata, anugerah tersebut adalah sesuatu yang membangga dan menggembirakannya kerana mendapat pengiktirafan tertinggi di negara ini.

"Sebelum Sukan Olimpik 2012 di London, pengiktirafan ini akan memberi perangsang untuk saya mempamerkan aksi cemerlang pada peringkat antarabangsa terutama Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang akan berlangsung penghujung tahun ini," kata Azizulhasni semalam.

Anak jati Terengganu berusia 22 tahun itu yang terkenal dengan gelaran The PocketRocket Man mempertaruhkan kejayaan sebagai pelumba Malaysia pertama menang pingat pada Kejo- hanan Trek Basikal Dunia di Poland pada Mac 2009.

Biarpun sekadar pingat perak, kejayaan dalam acara pecut 200 meter pada Kejohanan Trek di Pruszkow itu nyata amat bermakna.

Sepanjang 2009, Azizulhasni turut merangkul beberapa kejayaan lain, antaranya dua pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Asia di Indonesia serta satu pingat emas pada sirkit Piala Dunia UCI di Beijing dan satu pingat perak pada sirkit Piala Dunia UCI di Melbourne.


AHMAD SHABERY (kanan) menyampaikan trofi kepada kapten skuad bola sepak negara ke Sukan SEA Laos, Aidil Zaquan Abd. Radzak pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2009 di Kuala Lumpur semalam.


"Kejayaan saya juga adalah kerjasama daripada semua pihak seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), jurulatih (John Beasley), para penaja dan keluarga," katanya.

Nicol pula melakar sejarah tersendiri apabila meraih gelaran Olahragawati Kebangsaan buat kali ketujuh dengan menewaskan lima calon lain iaitu Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui (badminton), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (boling), Siow Yi Ting (renang), Noraseela Khaled (olahraga) dan Jamaliah Jamaluddin (karate).

Pencapaian Nicol, 27, untuk berada di puncak skuasy dunia sepanjang tempoh 17 bulan selain menang dalam semua 56 perla- wanan sejak awal tahun 2009 nyata sesuatu yang amat membanggakan.

Antara kejuaraan yang berjaya dirangkul Nicol sepanjang 2009 ialah Terbuka Texas, Terbuka Seoul, Terbuka Malaysia CIMB, Terbuka Singapura CIMB, Terbuka Forexx dan Terbuka Hong Kong Cathay Pacific Gale Well.

Sebelum ini, Nicol pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada 1999, 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2008.

Azizulhasni dan Nicol membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000 setiap seorang.

Selain Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis semalam ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

1 comment:

Lili said...

Salam Yana,

Tahniah dari kami sekeluarga buat Jojo dan, Yana jugak...for your endless support.

Kak Lili ran a piece about the victory too over at my blog. Hope you don't mind! :-D

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...